Bangsa Melayu yang datang ke Nusantara telah membawa bersama kebudayaan unik dan tersendiri yang meliputi keseluruhan cara hidup mereka. Kebudayaan ini yang dikenali sebagai adat ditakrifkan sebagai tatacara dan peraturan hidup seharian individu-individu dalam masyarakat yang dapat mewujudkan kerukunan, kesentosaan serta kerharmonian di dalam konteks hidup bermasyarakat. Adat juga melingkungi tatacara ataupun ritual yang diamalkan dalam institusi-institusi perayaan dan majlis-majlis rasmi.
Di awal tamadun Melayu, adat merupakan paksi utama dalam mengatur masyarakatnya. Bagaimanapun adat kemudiannya secara terus-menerus mengalami proses perubahan dalam lintasan masa yang panjang, serta perubahan oleh suasana dan tempat, khususnya dalam zaman kemunculan Islam di rantau ini. Kedatangan Islam telah menggabungkan undang-undang adat dan syariah sebagai paksi utama perundangan Bangsa Melayu contohnya Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan (Perak), Kanun Kelantan, Hukum Kanun Brunei dan sebagainya.
Di dalam konteks hukum adat, individu-individu dalam masyarakat dapat digabungkan di bawah satu sistem norma dan nilai yang seragam. Adat bukan sahaja dapat menghapuskan bibit-bibit konflik diantara ahli dalam masyarakat yang pelbagai ragam dan karenah itu, malahan ianya juga berfungsi dalam bentuk peribadi dan jatidiri sesuatu bangsa sepertimananya Bangsa Melayu itu. Dalam hal ini, walau dimana pun kedapatan mereka, orang Melayu dapat dibezakan dengan bangsa lain kerana mereka mempunyai adat yang unik dan terkhusus, iaitu keseragaman nilai dan norma yang menjadi sebahagian dari perilaku dan identiti diri mereka sebagai satu bangsa. Contoh nilai yang menjadi pegangan bersama Bangsa Melayu ialah konsep beriman, muafakat, bergotong-royong, budi pekerti, adab, sabar, santun, setia, hormat, talzim dan pelbagai lagi.
Dalam konteks sejarah Bangsa Melayu, amalan adat dan syariah terbukti telah dapat membentuk satu bangsa yang berakhlak, beradab, halus, luhur, beradat dan bermaruah. Kesan darinya lahirlah kekuatan, ketinggian, kemuliaan, kebesaran, keunggulan dan kedaulatan bangsa. Beberapa perspektif dapat dilihat dalam Adat Melayu itu antaranya :
1. Adat yang sebenarnya adat atau dikenali sebagai adatullah
Ditakrifkan sebagai hukum tabii yang diciptakan Allah. Contohnya adat harimau mengaum, adat kambing mengembek, adat api membakar, adat air membasah dan sebagainya. Ianya diertikan sebagai hukum adat yang hampir mutlak didasarkan pada hukum dan peraturan Islam, contohnya konsep muafakat dan musyuawarah yang wujud dan amat diberatkan dalam corak pemerintahan Bangsa Melayu.
2. Adat yang diadatkan
Meliputi adat muhakamah dan adatunnah. Adat muhakamah (adat yang baik) ialah undang-undang, hukum adat dan peraturan yang digubal oleh pemerintah atau pemimpin Bangsa Melayu bagi menjamin kerukunan serta keharmonian di dalam konteks hidup dalam satu kelompok bangsa. Ianya mengikat rakyat kepada perlembagaan masyarakat. Undang-undang adat ini menjadi paksi utama undang-undang Bangsa Melayu di rantau ini dan lazim disebut sebagai istilah kanun. Contoh undang-undang adat yang terawal dapat dilihat pada Batu Bersurat Terengganu yang bertarikh 22 Februari 1303M bersamaan 14 Rejab 702 Hijrah. Pada Batu Bersurat Terengganu itu terpahat beberapa peruntukan undang-undang jenayah dan perniagaan Islam. Selain itu terdapat juga Risalah Hukum Kanun Melaka, Hukum Kanun Pahang, Hukum Kanun Dato’ Star, Undang-Undang Sembilan Puluh Sembilan, Hukum Kanun Brunei dan banyak lagi. Daripada sudut pandang ajaran Islam, adat muhakamah dikira mengikat dan wajib dipatuhi selama mana ianya tidak bertentangan dengan hukum syariat kerana adat muhakamah dibuat mengatur masyarakat dengan baik dan memelihara keharmonian negeri.
Adatunnah atau lazim diistilahkan sebagai resam ialah adat dan hukum adat yang bersumber dari kebiasaan-kebiasaan masyarakat setempat yang dinilai sebagai murni, bermanfaat dan tidak bersalahan dengan hukum Islam serta tidak menyimpang dari konsep adatullah dan adat muhakamah. Contohnya golongan muda menghormati golongan tua, konsep bergotong-royong dalam hal kenduri-kendara, ziarah menziarahi, rumah yang sentiasa terbuka untuk tetamu, memberi buah tangan, berbudi bahasa, mempelajari ilmu persilatan bagi anak-anak muda, bermusafir mencari ilmu dan sebagainya. Kebiasaan-kebiasaan terpuji ini kemudiannya diperkukuhkan oleh petinggi adat setempat sebagai hukum adat atau adat istiadat yang harus berlaku dalam pergaulan sehari-hari masyarakat.
3. Adat istiadat
Adat istiadat pula ritual-ritual yang sering dilakukan dalam institusi-institusi perayaan atau majlis-majlis yang dianggap rasmi, contohnya adat berkenduri-kendara, adat nikah-kahwin dan sebagainya. Perkara ini termasuklah dalam urusan mengatur alatan perhiasan, aturcara, tempat duduk dan susunan mereka yang akan menghadiri sesuatu majlis yang beradat istiadat. Adat istiadat ini dibuat dengan tujuan untuk meletakkan adab yang patut bagi membesar dan memuliakan perayaan atau majlis tersebut.
4. Adat jahiliyyah
Adat istiadat yang bersumber dari amalan-amalan yang dibawa dari zaman pra Islam, yang umumnya bercanggah dengan hukum Islam. Walaupun Islam telah lama berakar umbi dalam kehidupan masyarakat Melayu, adat istiadat jahiliyyah masih diamalkan oleh sebahagian mereka. Bagaimanapun para ulama dan pemuka Islam telah mengupayakan secara berterusan berbagai cara supaya dihapuskan saki baki amalan adat istiadat jahiliyyah yang masih wujud dalam masyarakat Melayu, contohnya ‘Perayaan Mandi Safar’, tepung tawar naik rumah baru, mengambil berkat pada perkuburan keramat, beberapa ritual dalam majlis persandingan dan sebagainya.





0 comments:
Post a Comment