TIDAK seperti rakannya di Malaysia, kehidupan 453,000 masyarakat Melayu Singapura hari ini bagaikan “menumpang” di tanah tumpah mereka sendiri. Sejak 35 tahun, kehidupan mereka tidak lebih daripada melukut di tepi gantang. Mereka tidak diberi layanan dan hak keistimewaan sebagai peribumi ditambah pula sistem meritokrasi pemerintah. Benarkah kenyataan Perdana Menteri, Goh Chok Tong, Ahad lalu, orang Melayu Singapura tidak dipinggirkan. Hanya orang Melayu Singapura wajar menjawab dan meluahkan pendapat mengenai dilema kaumnya di republik itu. Sehubungan itu, Berita Minggu menghantar wartawan ZAINUDIN ISA ke Singapura, kelmarin untuk menemu bual Setiausaha Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS), Mohd Rahizan Yaacob di ibu pejabat pertubuhan itu di Changi Road, bagi mendapatkan gambaran sebenar isu itu.
APA takrifan kemajuan orang Melayu di Singapura? Adakah mereka maju kerana berpendapatan lebih tinggi berbanding orang Melayu Malaysia, atau mereka turut maju sebab Singapura sudah menjadi antara negara termaju di rantau ini?Pertama, kita harus terima hakikat dan selalu kita tekankan kemajuan orang Melayu perlu diukur menerusi pendidikan. Tapi, semua kejayaan dan kemajuan orang Melayu di sini hari ini, tidak ada kena mengena atau bersabit dengan pemerintah. Apa yang dinikmati sekarang memang bermula daripada sikap dan naluri orang Melayu sendiri yang mahu memajukan diri. Dasar pemerintah tidak membantu peningkatan taraf hidup orang Melayu. Memanglah, kalau berdasarkan peningkatan ekonomi, orang Melayu secara tidak langsung mendapat limpahan ekonomi. Dari segi bantuan terus kerajaan, kita masih belum yakin ada polisi daripada pemerintah yang benar-benar mendukung satu keadaan yang mana orang Melayu tidak disisihkan.
Tapi, kenyataan Goh seolah-olah menggambarkan kehidupan orang Melayu Singapura kini lebih selesa berbanding Melayu di Malaysia?Apa yang menarik perhatian kita ialah perbandingan statistik itu menyatakan, 23 peratus orang Melayu Singapura menjawat jawatan dalam pengurusan dan pentadbiran kerajaan, teknikal dan profesional berbanding orang Melayu Malaysia cuma 16 peratus. Tapi, kalau kita ambil dari sudut 100 jawatan tertinggi orang Melayu dalam jabatan kerajaan berdasarkan kajian kita, jawatan tertinggi yang disandang orang Melayu Singapura cuma satu peratus.
Jadi statistik yang dipaparkan tidak menunjukkan kehidupan sebenar orang Melayu?
Mungkin orang di luar tidak nampak apa yang berlaku di dalam (Singapura). Hakikatnya, perjuangan orang Melayu untuk mendapatkan hak, pembelaan dan membaiki kehidupan sebagai rakyat minoriti adalah cukup sepakat. Untuk mencari kemajuan orang Melayu, kita sendiri harus berusaha di negara sendiri. Mungkin kaedah perjuangan yang digunakan itu pelbagai. Apabila mereka melihat Malaysia, mereka juga mahu menjadi seperti Malaysia. Kita mahu jutawan Melayu Singapura, pegawai tertinggi, kalau boleh menjadi Perdana Menteri Melayu, ada jeneral, hakim mahkamah tinggi dan sebagainya. Cuba bayangkan, hakim mahkamah tinggi seorang pun tiada, mahkamah rendah sekitar tujuh orang saja. Bayangkan, sesudah 35 tahun, satu hakim mahkamah tinggi tidak ada. Aspirasi Melayu Singapura sama dengan aspirasi Melayu Malaysia. Kita menentang penjajah Inggeris bersama dan kita menuntut kemerdekaan juga bersama. Cuma, yang berbeza ialah hakikat politik, kita sudah dipisahkan dari Malaysia.
Cuma, kita tidak ada statistik pembabitkan orang Melayu dalam syarikat swasta. Tapi kalau berdasarkan statistik orang Melayu dalam badan pemerintah, badan-badan berkanun, itu tidak menunjukkan orang Melayu sudah mencapai kemajuan. Kita mengalu-alukan PM membahaskan perkara ini secara terbuka dan rasional, tapi tolong tunjukkan statistik, data atau fakta mengapa orang Melayu masih lemah dan bidang mana yang masih boleh diperbaiki. Sila tunjukkan bidang mana pemerintah sudah atau boleh menghulurkan bantuan untuk memperbaiki nasib orang Melayu
Ramai tokoh politik di Malaysia mempertikaikan kesahihan kenyataan Goh dan ada beranggapan ada agenda terselindung. Boleh saudara komen?
Saya rasa pendapat seperti itu tepat kerana apa yang berlaku baru-baru ini ialah AMP (Persatuan Profesional Melayu) sudah membuat satu gagasan mengenai kepemimpinan kolektif dan PM menghalang kemahuan segolongan profesional Melayu berkenaan. Pemerintah dan PAP kemudian merasakan ada kemungkinan profesional Melayu tidak menerima sikap PM. Dan, bagi orang Melayu, profesional Melayu itu satu yang amat disanjung dan mempunyai pengaruh kuat di kalangan masyarakat Melayu itu sendiri. Jadi, kalau sebarang gagasan tidak disanjung kerajaan dan PM, itu menunjukkan tiada keikhlasan PM terhadap orang Melayu. Persoalannya sekarang bagaimana PM harus meyakinkan kembali agar orang Melayu tidak hilang kepercayaan terhadap pemerintah. Mungkin sebabnya dia keluarkan statistik bagaimana cemerlangnya Melayu Singapura hari ini.
Kerajaan Singapura berbangga dengan dasar meritokrasi sejak 35 tahun lalu berjaya membangun dan memajukan masyarakat berbilang kaumnya?
Memang mereka bangga dengan sistem meritokrasi yang diamalkan selama ini. Tapi, tidak ada satu bantuan khusus kepada orang Melayu. Orang Melayu harus berdikari. Misalnya, kalau dia (orang Melayu) kalah dengan cabaran arus perdana, bererti pemerintahan hanya mengatakan ia berpunca atas dasar meritrokrasi.
Satu ketika dulu orang Melayu dicap sebagai kaum yang “lembap” untuk menerima saingan dan arus kemajuan pantas. Adakah ini satu faktor yang harus diakui orang Melayu di sini?
Semangat kita untuk maju, meningkat dan mencapai pelajaran yang baik sentiasa diperjuangkan. Memang pemerintah tidak boleh membendung dan menyekat dan pemerintah harus membuka seluas-luasnya peluang dan kemajuan ekonomi. Dengan pembukaan ekonomi seperti itu, bagaimana nak menutup peluang yang ada untuk direbut orang Melayu? Pemerintah tidak berjaya menyekatnya. Tapi, memang kita berpendapat sekiranya ada perhatian istimewa dan khusus daripada pemerintah untuk orang Melayu, pemerintah ambil berat kemajuan orang Melayu dan pemerintah mengambil bahagian dalam meningkatkan kemajuan orang Melayu, saya rasa orang Melayu akan lebih menonjol.
Tapi diskriminasi ini sudah bermula daripada sistem pendidikan itu sendiri?
Memang orang Melayu berpendapat, diskriminisasi itu memang berlaku. Oleh itu, PKMS sudah menggesa pemerintah supaya membentuk satu badan untuk melihat, mengkaji dan meneliti di mana wujudnya diskriminasi bagi membolehkan ia ditangani secara sihat. Kita juga berpendapat perpaduan dan keharmonian di antara kaum itu amat penting, bukan sekadar memberi orang Melayu mendapat peluang kekayaan dan pekerjaan, tapi membolehkan mereka mendapat layanan istimewa di negara mereka sendiri, sebagai peribumi. Saya setuju memang ada hambatan-hambatan dan pemerintah harus membuktikan mereka tidak mengamalkan sikap diskriminasi itu. Kalau kita tengok 100 jawatan tertinggi dalam kerajaan, misalnya Kementerian Pertahanan, kita lihat tiada langsung sejak 1965. Goh hanya membuka cerita soal kemajuan orang Melayu sekitar 10 tahun lalu. Kita bukan bercakap soal orang Melayu 10 tahun, tapi sejak pemisahan Malaysia-Singapura lagi.
Untuk membela orang Melayu, tidakkah mereka amat perlukan pihak yang terbabit sebagai pembuat dasar?Kalau sebagai pembuat dasar, melalui “political appointment” (lantikan politik) memang ada seperti pemimpin Melayu dalam PAP (Parti Tindakan Rakyat). Yalah, kita mengharapkan mereka lebih lantang dan agresif dalam membuat polisi yang membantu peningkatan rakyat Singapura, khususnya orang Melayu. Tapi, dalam hal ini, masyarakat Melayu memang cukup kecewa dengan peranan mereka.
Maknanya, penyertaan mereka dalam kerajaan tidak releven?
Ya, mereka selalu beranggapan Melayu satu kaum minoriti di Singapura. Mereka berasa kalau sikap agresif untuk memperjuangkan nasib orang Melayu, mereka anggap keadaan orang Melayu akan lebih terhambat. Jadi, mereka “play safe” dan dari satu segi lain, mereka juga khuatir kedudukan mereka. Soal relevenkah mereka ini, orang Melayu berasakan ada kalanya sikap itu mengecewakan kerana tidak memperjelaskan masalah orang Melayu dengan setepat dan secukupnya. Mereka seharusnya tidak berasa lemah atau takut. Jangan menjadikan atas sebab meritokrasi awak sebagai orang Melayu mesti berusaha sendiri. Kemudian, kalau tidak berjaya, itu salah awak.
Di mana kesatuan Melayu itu sendiri sebagai satu suara dan satu irama dalam memperjuangkan nasib orang Melayu?Memanglah, kita sudah mendesak agar PM dan pemerintah PAP memberikan perhatian khusus terhadap masalah orang Melayu dengan menggubal dasar ke arah membantu. Kita sudah membuat kenyataan meminta PM menwujudkan satu portfolio di pejabat PM agar melihat bagaimana orang Melayu yang layak di kementerian dan jabatan menikmati kenaikan pangkat dan jawatan lebih tinggi. Memang kita sentiasa membuat tuntutan dan desakan. Malah, kita sudah berkali-kali menasihat pemerintah Singapura, perhubungan baik antara Singapura-Malaysia hanya akan menjadi baik sekiranya layanan mereka terhadap orang Melayu di Singapura baik. Kita berpendapat, hubungan orang Melayu Singapura dengan Melayu Malaysia cukup akrab dan apabila ini tercapai, ini adalah tonggak kepada perhubungan baik di antara kedua-dua kerajaan. Selagi kita melihat ada perhubungan yang tidak baik antara Singapura-Malaysia, ini berpunca daripada sikap pemerintah Singapura terhadap orang Melayu sendiri.
Kita lihat masalah tidak pernah selesai sejak 1965, sampailah sekarang. Cuba bayangkan sesudah 35 tahun, kita orang Melayu kalau diterjemahkan semua kaum berkongsi mentadbir Singapura, sepatutnya nisbah orang Melayu ditonjolkan dan diserlahkan dalam pemerintahan.
Di mana kekuatan Melayu kalau diperjuangkan melalui cara demokrasi seperti parti politik?
Dulu kita menyertai barisan sosialis sebagai satu parti yang didukung oleh orang Cina. PKMS sendiri asalnya daripada Umno yang didukung oleh orang Melayu. Jadi, dalam satu asakan politik yang cukup ganas, barisan sosialis akhirnya berkubur. Tapi PKMS dan perjuangan orang Melayu masih berdiri tegak. Jadi, mungkin dari segi psikologi, orang Melayu bangga bahawa dalam keadaan yang tidak pro Melayu, menindas orang Melayu, tapi orang Singapura masih boleh maju. Itulah yang kita ingin jelaskan, kita maju bukan disebabkan pemerintah. Cuba bayangkan kalau pemerintah membantu orang Melayu, saya kira kemajuan orang Melayu lebih pesat lagi.
Mungkin pemerintah saudara menganggap orang Melayu tidak lebih sebagai kaum minoriti saja?
Ya, walaupun kita kumpulan kecil, kita memang berfungsi untuk turut memerintah dalam negara sendiri. Kalau dikatakan ia satu kontrak sosial sesudah kita menentang British, kita sepatutnya dapat memerintah dengan sendiri. Dalam hal ini, mengapa pula kita harus disisihkan? Sekiranya pemerintah berdegil juga, ini bererti itu kesalahan mereka sendiri. Mereka tidak boleh memperbaiki hubungan kerajaan dengan masyarakat Melayu, kalau mereka terus dengan dasar peminggiran. Tapi, dari segi hubungan sesama Melayu, kita sesama keluarga Melayu di negara jirannya, kita cukup erat sekali.
Atau pemerintah negara anda tidak mahu memberi jawatan penting atas alasan kesetiaan orang Melayu dikatakan masih berbelah bahagi?
Ini satu sindrom kerajaan. Mereka rasakan ancaman itu akan datang daripada Malaysia dan Indonesia. Mereka merasakan Malaysia itu Melayu dan Indonesia itu Melayu. Ini yang selalu dipersoalkan. Maknanya, kalau memberi tempat untuk orang Melayu, apakah orang Melayu itu tidak taat setia kepada negaranya. Kalau memberi tempat kepada orang Melayu dengan sebaik-baiknya, kita berpendapat ia tentunya membantu satu perhubungan cukup istimewa sesama jiran. Kita boleh lupakan pergeseran lalu, sebaliknya sudah boleh tumpukan kepada soal pencapaian, kerjasama yang lebih erat dan meningkat.
Bagaimana tahap keintelektual orang Melayu berbanding kaum lain?
Kalau kita ambil kira dari segi pencapaian pelajar Melayu di universiti pada tahun 2000, hanya dua peratus yang lulus. Kemudian 2.9 peratus mereka yang lulus politeknik. Jadi keseluruhannya nisbahnya sekitar lima peratus orang Melayu yang memiliki kelayakan akademik, khususnya graduan universiti. Dari segi kemasukan pelajar ke intitusi pengajian tinggi, seperti yang dijelaskan PM, kemasukan pada tahun ini lebih besar iaitu melebihi empat peratus. Maknanya memang ada calon orang Melayu untuk menduduki jawatan tertinggi, tinggal lagi kita tidak pernah diberi peluang.
Bagaimana pula pencapaian orang Melayu dalam bidang profesional seperti jurutera, arkitek, peguam atau doktor?
Saya rasa orang Melayu Singapura lebih mengambil bahagian dalam sektor swasta. Malangnya, kita belum ada lagi statistik orang Melayu dalam sektor profesional itu. Tapi, profesional Melayu dalam sektor kerajaan yang dikatakan 23 peratus itu, ia juga tidak begitu jelas. Apa yang kita yakini ialah sektor swastalah yang banyak memberi tempat dan membuka peluang kepada profesional Melayu. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana pemerintah bertanggungjawab terhadap kemajuan orang Melayu.
Adakah pemerintah melihat tuntutan dan permintaan profesional Melayu itu satu ancaman?
Memang benar. Apapun permintaan orang Melayu secara ikhlas, tapi ia dilihat sebagai satu yang membawa kepada ada kekacauan dan unsur ekstrim. Mereka meminta kepemimpinan kolektif yang ikhlas, tetapi mereka buruk sangka dan tafsirkannya kepada eleman yang akan membawa kepada keganasan. Bukankah itu satu tanggapan yang buruk sangka terhadap orang Melayu?
Adakah selama ini tuntutan orang Melayu republik ini akhirnya membawa kepada keadaan huru-hara?Tentunya tidak pernah sama sekali. Meskipun akhirnya ia membawa kepada “frustration” yang cukup tinggi, tapi kita berjaya mengawal diri. Kita tidak percaya kepada perjuangan revolusi bersenjata di Singapura. Kita percaya kepada rantau aman dan makmur.
Tapi pertubuhan seperti Mendaki mendapat perhatian pemerintah?
Yalah, mereka badan yang diwujudkan oleh pemerintah. Mereka melahirkan pelajar Melayu yang berkelulusan universiti. Adakah mereka itu dapat menghalakan pelajar Melayu berkelulusan universiti, cendekiawan itu menjawat jawatan penting di sektor pemerintah. Sepatutnya mereka berperanan sebegitu. Ingin saya jelaskan juga Mendaki satu badan yang mendidik pelajar yang sangat kecil bilangannya. Jadi, dalam hal ini, ibu bapa Melayu memainkan peranan besar untuk melahirkan peningkatan akademik dan cendekiawan, bukan Mendaki yang kemampuannya sangat kecil. Berapa kerat saja pelajar Melayu yang berjaya kalau dibanding keseluruhan pelajar Melayu.
Kalau diukur pencapaian anak Melayu, lulusan sekolah menengah hanya 32.1 peratus, pra universiti 12.9 peratus dan politeknik 2.9 peratus. Kalau dibandingkan pelajar Cina, mereka yang ada kelulusan menengah 23.2 peratus; 15 peratus (pra menengah); 7 peratus (politeknik) dan 12.6 peratus (universiti). Kalau diambil pelajar India, mereka yang lulus di peringkat menengah 26.4 peratus; pra-universiti (15.6 peratus); politeknik (3.1 peratus) dan universiti (16.5 peratus). Kalau ini dianggap satu kekuatan orang Melayu, ia tidak benar.
Pemerintah dikatakan mahu mewujudkan “Melayu Singapura” bukannya Melayu yang tinggal di Singapura?Kalau kita mahu membuat batasan, atau bendungan agar orang Melayu Singapura tidak mempunyai hubungan istimewa dengan Melayu Malaysia, saya rasa mereka silap. Pepatah Melayu ada mengatakan air yang dicincang tidak akan putus, hubungan kita wujud sejak 35 tahun.
Bagaimana dengan langkah membawa masuk kaum lain yang dikatakan untuk mengimbangi pertumbuhan Melayu?Saya ada statistik dan kitapun khuatir mengenai trend itu. Kemasukan orang Cina dari Malaysia, Taiwan, Cina dan Hong Kong, termasuk kemasukan orang India dari negara India juga agak ketara. Kita merasakan memang ada dasar untuk meningkatkan peratus orang Cina dan India. Memang kerajaan ada dasar, mereka mahu menarik bakat atau profesional India, Cina dan Melayu ke Singapura. Tapi, setakat ini mereka nampaknya mereka gagal membawa masuk profesional Melayu luar ke Singapura. Mungkin tiadanya orang Melayu luar datang ke Singapura sebab dasar pemerintah itu sendiri menindas. Cuba kita lihat banci 2000, orang Cina yang datang ke sini dan mendapat taraf kerakyatan sementara (PR) dari Malaysia ialah 9.4 peratus; Cina Hong Kong dan Taiwan, lima peratus; India, Pakistan dan Bangladesh dan Sri Lanka 1.9 peratus; Indonesia satu peratus dan lain-lain negara satu peratus.
Dan dari satu segi, peratus orang Melayu menurun daripada 14.9 peratus kepada 13.9 peratus. Bagi orang Melayu penurunan satu peratus ini agak meruncing kerana itu “survival” kita dari segi perjuangan Melayu. Mungkin kaum Cina juga menunjukkan penurunan satu peratus, tapi kita harus ingat mereka kaum majoriti dan penurunan itu tidak terasa. Kita juga harus ingat kadar kelahiran orang Melayu tinggi puratanya 2.79 peratus setahun berbanding orang Cina yang mungkin kurang daripada itu.
Dalam keadaan seorang satu undi, bagaimana orang Melayu boleh menentukan kuasa politik?
Memanglah orang Melayu mencari strategi sebagai kuasa minoriti. Kita harus mempunyai kuasa politik dan tanpa kuasa politik bagaimana kita nak menerajui negara sendiri. Pada satu ketika sebelum pemerintah membuat dasar supaya orang Melayu di sesuatu kawasan perumahan tidak melebihi 25 peratus. Ketika itu peratus orang Melayu semakin meningkat di sesuatu kawasan mengundi. Kalau ada peratus undi Melayu yang tinggi di kawasan itu menyebabkan calon Melayu memasuki Parlimen.
Jadi dasar mengehadkan peratusan penduduk di tempat kediaman ini masih berlaku sampai sekarang?Ya, sampai sekarang. Kita sudah berhujah kepada kerajaan agar semua kaum seimbang dalam semua konteks. Cuba berikan satu kawasan yang 75 peratus orang Melayu dan 25 peratus orang Cina, itu juga menunjukkan keadaan yang berbilang kaum. Cuma bezanya masyarakat Melayu menjadi majoriti di situ. Sementara orang Melayu dipinggirkan dalam sektor pemerintahan, orang Melayu semakin terhakis identiti dan budayanya. Dikatakan orang Melayu Singapura, khususnya bangga menjadi Melayu moden, bercakap Inggeris dan sebagainya.
Saya rasa itu tidak tepat. Sebahagian besar keluarga Melayu iaitu 90 peratus masih berbahasa Melayu. Kalau remaja Melayu, sama juga remaja di Malaysia. Kita tidak boleh ukur mereka tidak prihatin dengan masalah Melayu yang berat kerana umur mereka masih remaja. Sekiranya mereka di universiti dan politeknik, itu boleh digunakan sebagai timbang tara. Tapi, kalau umur remaja, mereka belum lagi memasuki umur yang mampu memikirkan masalah perjuangan dan soal politik berat, soal survival orang Melayu dan sebagainya.
Tapi, dalam hal ehwal agama seperti pendidikan anak di madrasah penyediaan kurikulumnya bukan seratus peratus menyediaan generasi Islam sebenar?Saya rasa dari segi mata pelajaran itu sudah ada keseimbangan di antara mata pelajaran ukhrawi dan duniawi. Tinggal lagi pemerintah kurang senang dengan peningkatan kemasukan pelajar Melayu ke madrasah.
Oleh itu mereka mengehadkan atau memperkenalkan kuota hanya 400 orang pelajar boleh diambil untuk enam madrasah di Singapura berbanding permohonan yang diterima 500 hingga 600 orang. Tinggal lagi, ibu bapa mahu anak mereka di sekolah biasa diizinkan menutup aurat, sebab itu mereka lebih cenderung kepada madrasah. Kita juga menyatakan kepada kerajaan itu bukan saja kehendak ibu bapa tetapi kehendak agama. Tapi pemerintah menganggapnya sebagai satu gejala ekstrim kerana mereka tidak mahu asas Islam itu kuat dan nanti menjadi ancaman kepada mereka. Jadi Melayu Singapura tersepit dalam prejudis pemerintah yang amat kuat.





0 comments:
Post a Comment